17 Oktober 2014 - 05:14
Militan yang mati di Syria tidak syahid

Mufti negeri Kelantan Darulnaim menegaskan pengganas yang mati di Syria tidak syahid kerana memerangi umat Islam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Mufti Kelantan menasihatkan rakyat di negara ini agar tidak terpengaruh dengan istilah 'mati syahid' yang disogok oleh pengganas negara Islam (IS) di Syria.

Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut menegaskan mereka yang maut bersama militan di Syria tidak boleh dikategorikan sebagai mati syahid.

 "Kalau (kita) Islam lawan Islam, mana boleh kata mati syahid," katanya  kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Sebelum itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, usaha mempengaruhi gadis Malaysia untuk bergabung dengan kumpulan pengganas di negara bergolak Syria yang kononnya atas dasar jihad semakin agresif apabila dikesan cuba merekrut pelajar sekolah.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri menambah, beliau meminta umat Islam tidak menyertai kumpulan berkenaan kerana ia bercanggah dengan pegangan agama.

 "Bukan kumpulan IS sahaja, mana-mana kumpulan yang disifatkan sebagai ekstrem kita tidak boleh sertai sebab Islam tak benarkan.

"Kaedah Islam ini adalah kesederhanaan dan mengikut peraturan, kalau menyertai pertubuhan yang tidak mengikut syarak dan undang-undang, maka tidak dibenarkan," katanya.

 Mohamad Shukri berkata ibu bapa diingatkan supaya lebih kerap memantau anak-anak mereka untuk tidak menyertai kumpulan ini.

 "Minta semua ibu bapa awasi dan kita kena lihat siapa anak kita berkawan, tidak boleh biarkan anak ikut menyertai (sesuatu) pertubuhan sesuka hati dan perlu diawasi serta dijaga lebih pada zaman sekarang," katanya. - Bernama